Pengurusan Harta – Bingkisan coretan demi esok

Siri Gelombang – Artikel Bahasa Melayu 2022 – HFED

Suasana menjadi riuh di ruang tamu sebuah rumah dengan gelak tawa sebuah keluarga bahagia. Kelihatan si ayah, emak, abang dan adik perempuan yang bongsu riang bermain permainan ‘Monopoly’. Keadaan menjadi lebih gamat apabila ayahnya berjaya membeli beberapa keping ‘tanah’ dan mula membina ‘rumah’ di atas ‘tanah’nya.

Setelah lebih setengah jam bermain, si ayah berjaya menjadi juara dengan mengumpul paling banyak ‘tanah’, manakala si adik bongsu kelihatan sedih kerana menjadi pemain yang mengumpul ‘tanah’ paling sedikit. Sedang si adik mula merajuk, ayahnya datang memujuk dengan memberikan beberapa keping ‘tanah’ kepada anak bongsunya itu.

Kelihatan si abang tidak berpuas hati apabila ayahnya memberikan ‘tanah’ kepada adik. Maka pergaduhan bermula apabila si abang merebut kepingan ‘tanah’ yang diberi ayah kepada adik. Ayah pada mulanya hanya tersenyum melihat gelagat 2 orang anaknya itu yang pada anggapannya hanya bergurau sesama mereka tiba-tiba berfikir sambil mengelamun dan bertanya kepada diri sendiri; “Bagaimana jika mereka besar nanti dan ketika itu aku sudah tiada…adakah mereka akan berebut harta aku seperti ini?”

Tersentak dengan lamunan itu, ayah pergi ke arah anak-anaknya untuk menenangkan keadaan. Sambil memujuk kedua anaknya, si ayah sedar bahawa dia mesti melakukan sesuatu terhadap hartanya agar untuk kebahagiaan dan kasih sayang terhadap anak-anaknya.

Baiklah, situasi di atas berkait rapat dengan salah satu aspek dalam pengurusan kewangan yang tidak begitu diambil berat oleh rakyat Malaysia iaitu PENGURUSAN HARTA. Kenapa penulis berkata begini?

Tahukah anda, laporan dari Berita Harian pada Mac 2022 menyatakan bahawa sebanyak 72,348 kes pembahagian harta yang tertunggak dan masih belum diselasaikan? Utusan Malaysia pada September 2021 pula melaporkan dianggarkan lebih RM90 billion harta beku tidak dituntut. Lebih membimbangkan apabila Sinar Harian pada Febuari 2022 menyebut sebanyak 90% rakyat Malaysia tidak mempunyai wasiat.

Kenapa keadaan ini terjadi? Mungkin perkataan yang sesuai untuk menjawab persoalan ini ialah kita tidak mempunyai kesedaran atau ‘awareness’ tentang pengurusan harta. Mungkin juga sikap segelintir rakyat Malaysia yang biasa dengan ayat “benda ni belum terjadi kepada saya, jadi buat apa terburu-buru”. Ataupun ada di antara kita yang beranggapan “Alah saya bukannya ada harta sangat, jadi buat apa susah-susah untuk buat wasiat”.

Anda perlu ingat, walau sedikit manapun harta yang anda ada, anak cucu dan keturunan anda mempunyai hak dalam harta tersebut bila anda tiada nanti. Kita mungkin sibuk bekerja semata-mata untuk memperoleh (aquire) harta untuk kesenangan kita, dan apabila kita berjaya memperoleh harta, kita akan melindungi (protect) harta dengan mengambil segala insurans atau takaful. Tetapi kita mungkin lupa untuk membuat perancangan untuk mengagihkan (distribute) harta kita kepada keturunan kita dan kepada yang berhak.

Ajal dan maut di tangan Tuhan. Hanya Dia yang tahu bila kita akan pergi menghadapNya. Oleh itu, buatlah persediaan awal. Anda boleh gunakan senarai semak di bawah sebagai persediaan dalam menguruskan harta:

  1. Ketahui jenis harta yang ada seperti harta alih dan harta tidak alih
  2. Fahami proses pengagihan harta.
  3. Tentukan penama/pentadbir/waris yang ingin diberikan harta
  4. Fahami kos yang terlibat
  5. Rujuk kepada institusi yang sah

Institusi pengurusan pewarisan seperti Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) boleh dirujuk jika ingin mendapatkan sebarang nasihat ataupun menyelesaikan masalah berkaitan isu pengurusan pewarisan dan pengagihan harta pusaka. Terdapat juga institusi swasta yang menyediakan perkhidmatan khidmat nasihat dan perkhidmatan yang meliputi perkhidmatan penyediaan wasiat, pengurusan amanah dan pusaka.

Akhir kata, buatlah perancangan seawal mungkin mengenai proses pengagihan harta anda. Tiada istilah ‘awal’ atau ‘tunggu dulu’ kerana jika terlewat, anak cucu dan waris anda mungkin mempunyai masalah dan lebih teruk lagi kita tidak mahu mereka bertikam lidah hanya kerana harta yang ditinggalkan oleh anda.

Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi,
Dalam miskin harta ada kekayaan jiwa,
Dalam kesempitan hidupada kekuasaan ilmu,
Dalam menjaga keluarga, urus harta sebaiknya.

Ashraf
Pegawai Kanan Jabatan Pendidikan Kewangan Isi Rumah
AKPK